mutakhir

Katak oh katak...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

HANYA kerana geli dengan katak, seorang wanita meminta bantuan pihak bomba bagi menangkap haiwan berkenaan yang memasuki apartmen di Bukit Indah, Ampang, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.37 malam.

"Kami menerima panggilan daripada seorang wanita berusia lingkungan 20-an memaklumkan ada seekor katak 'besar' memasuki apartmennya sebelum enam anggota bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat tiga wanita di dalam apartmen berkenaan dengan dua daripada mereka dilihat berada di kerusi meja makan serta sofa," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Ariff berkata, pemeriksaan di dalam apartmen itu menemui seekor katak sebesar kira-kira tiga jari berada di antara pintu bilik tidur dan tandas.

"Katak itu dikatakan ditemui di tandas dan 'kehadiran' haiwan itu yang mengejutkan penghuni berkenaan menyebabkan tandas itu dalam keadaan berselerak.

"Difahamkan wanita itu menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan bagi mengeluarkan haiwan berkenaan kerana mereka geli dengan katak.

"Kami mengambil masa tidak sampai satu minit untuk menangkap katak itu sebelum ia dilepaskan di kawasan hutan," katanya.

Katanya, kes itu adalah kali pertama diterima pihaknya membabitkan khidmat menangkap katak.

"Selalunya kes yang kami terima membabitkan haiwan berbisa seperti ular selain biawak serta musang.

"Ini adalah kali pertama balai ini menerima panggilan untuk khidmat menangkap katak sepanjang tempoh enam tahun saya bertugas sebagai ketua balai," katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 11:24am
d