mutakhir

Serah anak kepada polis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

TIDAK tahan dengan kenakalan anak lelakinya yang gemar berlumba motosikal, seorang bapa menghantar lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran itu ke balai polis, semalam.

Lelaki berusia 18 tahun itu ditahan bersama empat lagi rakannya yang berusia antara 15 hingga 20 tahun selepas terbabit dalam aksi lumba haram di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun berdekatan Kampung Banat pada 10.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihaknya ke rumah suspek, kelmarin sejurus kejadian itu namun lelaki berkenaan melarikan diri.

"Kelima mereka dikejar anggota polis sehingga ke rumah mereka di Arau dan empat rakannya ditahan.

"Namun suspek lari dari rumah sebelum bapanya hadir ke balai polis bersama anak lelakinya itu pada pagi semalam.

"Bapanya juga mengaku anak lelakinya itu sering terbabit dengan kegiatan berkenaan sehingga merunsingkan fikiran dirinya sewaktu hadir ke balai polis semalam," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, hari ini.

Nanda berkata, hasil pemeriksaan air kencing kelima mereka didapati negatif daripada pengaruh dadah dan kesemua motosikal yang ditunggang didaftarkan atas nama ahli keluarga mereka.

"Tiga daripada mereka didapati bawah umur dan hanya seorang sahaja yang masih bersekolah dan lainnya sudah bekerja.

"Pelbagai alasan yang diberikan sewaktu ditanya mengenai kegiatan mereka termasuk alasan suka-suka untuk berlumba dan berbagai lagi. Namun apa yang kita hairan, ibu bapa mereka seolah membenarkan anak mereka keluar dari rumah dan pulang lewat malam meskipun bawah umur," katanya.

Nanda berkata, kesemua mereka direman bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan1987.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 12:10pm
d