mutakhir

Belum jadi kesalahan rakam kertas undi belum dipangkah [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

BELUM menjadi kesalahan sekiranya pengundi awal merakam dan menunjukkan kertas undi pos Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tanpa tanda pangkah.

Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain ketika mengulas laporan media berkenaan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi amaran supaya pengundi tidak merakam gambar kertas undi pos PRK DUN Slim.

Razarudin berkata, jika kertas undi pos yang sudah dipangkah ditularkan di media sosial maka ia menjadi satu kesalahan mengikut peraturan perjalanan Pilihan Raya Seksyen 19 (8).

"Seperti mana orang masuk bilik mengundi dia menunjukkan kertas undi (kosong) untuk dia pangkah kemudian dia pangkah sebelum tutup dan masuk dalam kotak.

"Namun, apabila ia (kertas undi) sudah dipangkah dan diviralkan kepada orang berkenaan undi rahsia, ia menjadi satu kesalahan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Rasmi Kenderaan MPV Baharu Honda Civic 1.8 di Perkarangan Padang Kawad Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5 Sungai Senam di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, Polis Perak juga akan memastikan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengundi awal tidak berbuat demikian.

"Kita akan pastikan perkara ini tidak berlaku, sekiranya berlaku siasatan akan dibuka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan provokasi sepanjang perjalanan PRK DUN Slim.

"Kita melihat tiga calon bertanding sangat bijaksana dan tidak ada isu atau sebarang provokasi yang timbul sama ada dalam ceramah atau perjalanan melawat rumah ke rumah.

"Kita juga mengingatkan kepada semua calon ini supaya mengingatkan penyokong mereka jangan menimbulkan provokasi atau menimbulkan kekacauan," katanya.

SPR sebelum ini memberi amaran supaya pengundi tidak merakam gambar kertas undi pos PRK DUN Slim dan menularkannya di laman media sosial.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 2:10pm
    d