mutakhir

Lokasi penemuan dinosaur boleh jadi destinasi pelancongan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

LOKASI penemuan tujuh fosil yang didakwa tapak kaki dinosaur dianggarkan berusia puluhan hingga jutaan tahun di Bukit Panau, Tanah Merah boleh dijadikan destinasi pelancongan menarik.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut menyifatkan ia satu penemuan besar.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenai perkara itu daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Kita tengok dahulu macam mana sebab kita belum terima laporan rasmi, kena tengok laporan dahulu.

"Jika ada potensi yang baik, mungkin boleh dijadikan satu destinasi pelancongan sebab ini satu penemuan yang besar.

"Sebelum ini kita ingat dinosaur ada di luar negara, ini kali pertama dikatakan ada di Kelantan," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar turut mencadangkan kepada UMK supaya memberi laporan rasmi kepada kerajaan negeri bagi memudahkan tindakan susulan diambil termasuk mengawasi kawasan terbabit daripada diganggu pihak lain.

Akhbar sebelum ini melaporkan penyelidik UMK menemui tujuh fosil yang didakwa tapak kaki dinosaur dianggarkan berusia puluhan hingga jutaan tahun di Bukit Panau.

Penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB) UMK itu menemui kesan tapak kaki dipercayai spesies Sauropod dianggarkan berusia 66 hingga 160 juta tahun.

Ekplorasi itu diketuai Pensyarah FSB UMK Arham Muchtar Achmad Bahar dan Prof Surono Martosuwito serta disertai Prof Udi Hartono dan Mohd Syakir Sulaiman.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 2:31pm
d