mutakhir

Pembantu rumah kantoi curi barang kemas majikan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN seorang pembantu rumah warga asing mencuri barang kemas milik majikannya mengundang padah apabila dia ditahan pihak polis, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 57 tahun, Ahad lalu, selepas mendapati barang kemas disimpan di dalam laci di biliknya hilang.

"Menurut wanita itu, dia mengesyaki pembantu rumahnya yang mencuri barang kemas berkenaan kerana terdapat resit pembelian emas baru di dalam biliknya.

"Berdasarkan maklumat itu, kami menahan suspek yang juga orang gaji mangsa berusia 39 tahun di rumahnya di Seksyen 51A pada 1.30 tengah hari," katanya dalam kenyataan di Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku mencuri barang kemas berkenaan sebelum menjualnya di sebuah kedai emas di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 dipercayai diperoleh hasil jualan barang kemas terbabit.

Katanya, suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 3:20pm
d