mutakhir

Rampas cili, keledek dari Vietnam

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor mematahkan cubaan membawa masuk 14,000 kilogram (kg) cili dan 1,750kg keledek dari Vietnam selepas dikesan gagal menunjukkan permit import sah, mengelirukan dan tidak mematuhi syarat.

Rampasan itu dilakukan ketika anggota agensi berkenaan menjalankan pemeriksaan terhadap kontena dari Vietnam di Pintu Masuk Pelabuhan Klang Barat, Selangor, pada 6 Ogos lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, masih terdapat cubaan membawa masuk cili dari negara itu secara tidak sah walaupun penggantungan Permit Import (IP) dikuat kuasakan sejak 14 September 2018 lalu.

"Cubaan mengaburi mata pihak penguat kuasa dengan meletakkan 1,750kg keledek di bahagian hadapan kontena tumpas apabila penguat kuasa mengesan 14,000kg cili yang berada di bahagian belakang.

"Pemeriksaan mendapati keseluruhan barangan dagangan itu dianggarkan bernilai RM41,523.62 dan disita untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11, Seksyen 13 dan Seksyen 15, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, bagi perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah disiasat mengikut Seksyen 11(1) dan 11(3) akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Manakala, mengisytiharkan dokumen palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah kesalahan mengikut Seksyen 13, akta sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Rampasan itu tidak mematuhi syarat import dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) dan 15 (2), akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 6:52pm
d