mutakhir

Kedah terima pelaburan lebih RM3 bilion

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KEDAH akan menerima pelaburan lebih RM3 bilion membabitkan projek di Kedah Rubber City (KRC), Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan perhotelan di Langkawi yang bakal menawarkan 1,700 peluang pekerjaan baharu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaburan itu diterima daripada tujuh syarikat tempatan yang akan turut melaksanakan dua projek berimpak tinggi.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi komitmen sepenuhnya bagi memudahkan proses pelaburan dan sokongan daripada agensi berkaitan.

"Kita mengalu-alukan lebih ramai pelabur ke Kedah khususnya dalam projek KRC, KHTP dan Hab Logistik Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) yang menawarkan ruang, peluang serta kemudahan bertaraf dunia.

"Segala kemudahan dan infrastruktur termasuk air, elektrik dan tenaga kerja sentiasa tersedia bagi memajukan sektor industri itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Komitmen Pelaburan Negeri di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Pada majlis itu, Ivory Gloves menjadi pelabur utama bagi projek KRC dengan nilai pelaburan RM218 juta yang bakal menyediakan 267 peluang pekerjaan.

Muhammad Sanusi, semua projek pelaburan itu akan dilaksana dalam tempoh lima tahun dan kesannya bakal dapat dilihat secara berperingkat.

"Kita berhadapan masalah apabila pelabur luar tidak dapat masuk berikutan pandemik Covid-19, ramai pelabur berminat terbabit dalam projek KRC dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) termasuk dari Timur Tengah.

"Setakat ini kita hanya dapat berhubung secara dalam talian dan jika pintu sempadan sudah dibuka, kita yakin lebih ramai pelabur datang dengan nilai pelaburan lebih tinggi," katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 7:04pm
d