mutakhir

Johor bantu anak negeri lanjut pengajian

Oleh Mohamed Farid Noh

KERAJAAN Johor menawarkan skim bantuan pendaftaran kepada anak negeri yang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan Ijazah Sarjana Muda sebagai bantuan bagi meredakan bebanan akibat wabak Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, langkah itu disebabkan kerajaan negeri memahami pelbagai masalah akibat pandemik Covid-19 timbul sehingga ramai ibu bapa kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan.

"Selain pinjaman, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) turut memberi Skim Bantuan Pendaftaran bagi penuntut baharu sebanyak RM500 bagi peringkat Diploma dan RM1,000 bagi Ijazah Sarjana Muda.

"Kerajaan Johor berharap bantuan yang diberikan menerusi YPJ ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan kewangan anak-anak Johor yang mengikuti pengajian masing-masing di institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang terpilih.

"Maklumat lanjut mengenai pinjaman pendidikan dan Skim Bantuan Pendaftaran pendidikan ini boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.ypj.gov.my," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasni berkata, kerajaan Johor juga akan menukarkan pinjaman pendidikan yang diberikan anak syarikatnya, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) menjadi biasiswa sekiranya peminjam mencatatkan keputusan cemerlang kelas pertama.

Katanya, ia bagi menghargai usaha dan pengorbanan penuntut dalam pengajian mereka sehingga memperoleh keputusan cemerlang, iaitu kelas pertama.

"Bagi penuntut yang perlu membayar balik pinjaman berkenaan, tiada sebarang bayaran tambahan dikenakan.

"Mereka hanya perlu membayar jumlah pinjaman yang diterima dan pembayaran dibuat selepas enam bulan menamatkan pengajian.

"Bayaran minimum RM100 dikenakan dan tempoh ansuran bayaran

berdasarkan jumlah pinjaman yang diterima," katanya.

Hasni berkata, pada tahun ini, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi tujuan pemberian pinjaman pendidikan di dalam negara yang dianggarkan dapat memberi manfaat kepada 340 penuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta terpilih.

"Sejak 1979, YPJ menawarkan beberapa jenis bantuan pinjaman pendidikan bagi anak negeri yang melanjutkan pendidikan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) terpilih serta universiti di luar negara.

"Untuk makluman semua, jumlah penerima manfaat bagi pemberian pinjaman di dalam dan luar negara sejak 1979 hingga Disember 2019 adalah seramai 22,432 penuntut yang membabitkan jumlah RM299.5 juta," katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 8:03pm
d