mutakhir

KPDNHEP musnahkan RM2.7 juta barang ciplak

Oleh Mohd Amin Jalil

PELBAGAI barangan tiruan bernilai RM2.7 juta dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, membabitkan produk dirampas dan disita sejak awal Januari lalu.

Ia membabitkan aksesori diri seperti selipar, kasut sukan, pakaian, produk minuman herba tiga dalam satu dan pelbagai barangan lain.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pelupusan barang itu membabitkan 80 kes rampasan dan sitaan dilakukan KPDNHEP Negeri Sembilan serta cawangannya yang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Menurutnya, semua rampasan itu dikenakan tindakan oleh mahkamah dan juga dikompaun.

Katanya, nilai rampasan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 adalah yang tertinggi iaitu membabitkan sebanyak RM1.32 juta manakala Akta Perihal Dagangan 2011 membabitkan nilai RM1.27 juta.

"Ini adalah antara nilai rampasan dan sitaan yang tertinggi direkodkan. Pelupusan ini bertujuan memberi mesej kepada masyarakat bahawa kementerian ini memandang serius dalam menjaga kebajikan pengguna di luar serta pemilik harta intelek.

"Langkah ini juga bagi mengelakkan ketirisan yang berlaku akibat penyelewengan barangan bersubsidi sekali gus menyebabkan pihak kerajaan mengalami kerugian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP Negeri Sembilan, di sini, tadi.

Ain Arjuna berkata, sehingga semalam, KPDNHEP Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 447 kes yang dihasilkan melalui pelbagai akta yang dikuatkuasakan.

Beliau berkata, kementerian itu memandang serius kesalahan dilakukan oleh peniaga dan tidak akan berkompromi terhadapnya.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 8:07pm
d