mutakhir

IPCMC tak 'popular' [METROTV]

Oleh Samadi Ahmad

RANG Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan ditarik balik dan diganti dengan RUU baharu pada sesi Parlimen 26 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, RUU IPCMC itu akan diganti dengan RUU baharu yang diubahsuai dan dipersetujui kabinet.

Dalam pada itu ketika ditanya, Takiyuddin enggan mendedahkan RUU baharu itu dan memaklumkan pembentangan pertama akan diadakan pada 26 Ogos disusuli pembentangan kedua pada 27 Ogos oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut beliau, RUU baharu itu membawa maksud sama namun diubahsuai dan sedikit berbeza dari RUU IPCMC.

"RUU IPCMC itu diubah suai kerana tidak diterima oleh sebahagian warga polis," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pesuruhjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di Putrajaya tadi.

Seramai empat Pesuruhjaya EAIC menerima watikah untuk tempoh tiga tahun iaitu Pengerusi, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi, Tan Sri Zainun Ali dan dua Pesuruhjaya iaitu Datuk John Louis O'Hara dan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Katanya, kerajaan mahu memperkasakan EAIC dan antara cadangan ialah memantapkan proses tatatertib dalam perkhidmatan awam daripada laporan suruhanjaya itu dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 8:27pm
d