mutakhir

Dr Noor Hisham terharu terima anugerah Tokoh Maal Hijrah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

"SEBAGAI seorang pakar bedah, saya mungkin boleh menyelamatkan satu nyawa pada satu masa.

"Tapi dalam pentadbiran iaitu kesihatan awam kalau perancangan betul, kita boleh menyelamatkan satu negara."

Itu reaksi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1442H/2020M pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Negara, hari ini.

Beliau berkata, apa yang penting Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja sebagai satu pasukan untuk negara.

"Saya berasa terharu dan teruja menerima anugerah ini. Tapi saya mewakili KKM dan kakitangan yang bekerja di sebalik tabir untuk menjalankan tugas memutuskan penularan jangkitan Covid-19," katanya pada sidang media selepas menerima anugerah berkenaan.

Dr Noor Hisham, 57, diumumkan sebagai Tokoh Kebangsaan manakala Syeikhul Azhar Al-Syarif, Sheikh Prof Dr Ahmad Tayyib diumumkan Tokoh Antarabangsa.

Anugerah itu dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Dikenali sebagai insan yang sentiasa merendah diri, Dr Noor Hisham turut mengucapkan penghargaan kepada semua kementerian yang bekerjasama dalam usaha mengawal penularan wabak.

Menurutnya, tanggungjawab memutuskan rantaian pandemik di negara ini adalah tanggungjawab semua pihak termasuk masyarakat.

"Saya menyeru rakyat sama-sama membantu negara iaitu kita jaga kita, keluarga, masyarakat dan negara. Insya-Allah kita akan menang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 9:50pm
    d