mutakhir

Polis tumpaskan Geng Syam Labi

Oleh BERNAMA

POLIS menumpaskan Geng Syam Labi yang aktif dalam jenayah samun, curi kenderaan dan lembu selepas memberkas 11 lelaki, termasuk ketuanya di beberapa lokasi di Kedah dan Pulau Pinang sejak Ahad hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 51 tahun terbabit dipercayai menjalankan aktiviti jenayah mereka di sekitar Kulim, Padang Serai, Sik, Baling, Sungai Petani dan beberapa kawasan di utara Kedah, selain Pengkalan Hulu, Perak sejak awal tahun ini.

"Kita dapati bermula pertengahan Julai lalu yang mana bulan sambutan Aidiladha, kejadian samun, curi lembu di kawasan utara melebihi 50 ekor dan curi kenderaan pula menunjukkan peningkatan kes.

"Susulan itu, polis melakukan siasatan dan membongkar aktiviti kumpulan ini selepas menahan dua lelaki, masing-masing berusia 25 tahun di Kuala Ketil, sebelum menahan seorang lagi suspek berusia 26 tahun di kawasan sama pada 16 Ogos lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, susulan itu, polis menahan tiga lagi suspek berusia 25 hingga 29 tahun serta merampas tiga kenderaan di Kuala Ketil pada 17 Ogos.

"Semalam, 18 Ogos, kita berjaya menangkap dua lagi suspek iaitu dua lelaki berusia 36 dan 51 tahun di Seberang Perai Utara dan Bukit Mertajam serta tiga lagi suspek berusia 26 hingga 35 tahun termasuk ketua kumpulan itu di Bukit Selambau, Sungai Petani," katanya.

Beliau berkata, menerusi tangkapan terbabit, polis merampas tujuh lagi kenderaan termasuk dua motosikal, sepucuk pistol tiruan, tiga peket dadah dan tiga bilah parang panjang serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan dan lembu.

"Kesemua suspek dikesan positif dadah dan memiliki rekod jenayah lampau iaitu samun, curi kenderaan, pecah rumah, ugutan jenayah dan dadah.

"Suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 36 Akta Senjata 1960; Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958; dan Seksyen 39A(1), Seksyen 6 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 11:29pm
d