mutakhir

Bas PAJ boleh terus ke Woodlands

Oleh Omar Ahmad

BAS percuma disediakan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) bagi membawa pejalan kaki skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) di Tambak Johor dibenarkan membuat pusingan U di ICA Woodlands.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri berkata, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) di Woodlands mencapai persetujan bersama dengan pihak Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), hari ini.

"Sejak tiga hari sempadan dibuka, PAJ menyediakan bas percuma ini namun perlu membuat pusingan U di tengah sempadan antara kedua-dua negara.

"Alhamdulillah, bas percuma ini bergerak bagi perjalanan pertama dari CIQ BSI terus ke ICA Woodlands pada 10.30 pagi tadi.

"Operasi bas akan disediakan sebanyak 11 perjalanan bermula dari 7.30 pagi sehingga 6.30 petang setiap hari," katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Perkhidmatan beroperasi dengan kekerapan operasi setiap satu jam kecuali pada waktu rehat dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, kataknya.

Menurut Mohd Solihan, pengguna dinasihatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang di tetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika menggunakan perkhidmatan ini.

"Pengguna juga tidak dibenarkan menahan bas di pertengahan jalan serta di sarankan untuk turun dan menaiki bas di Kawasan yang ditetapkan," katanya.

Sebelum ini, pejalan kaki yang ingin pulang ke tanah air dari arah Singapura dan Malaysia perlu menaiki bas yang disediakan di tengah garisan sempadan tambak Johor.

Sejak sempadan kedua negara ditutup akibat pendemik Covid-19, kenderaan perkhidmatan awam tidak dibenarkan beroperasi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 11:45am
    d