mutakhir

Dua tokoh bertemu semula selepas 50 tahun

Oleh Zaid Salim

"SELAIN bersyukur dianugerah sebagai Tokoh Maal Hijrah 2020, saya juga bersyukur apabila dipertemukan semula dengan rakan sekelas yang sudah terpisah hampir 50 tahun lalu," kata Hussin Ismail, 66.

Menurutnya, pertemuan semula mereka itu menjadi lebih manis dan bermakna dalam apabila dipertemukan dalam satu majlis yang sangat bermakna dan berbangga kerana rakannya itu Mohamad Ghani, 66, dianugerah sebagai Tokoh Imam Cemerlang," kata Hussin Ismail.

Katanya, dia terpisah dengan Mohamad selepas tamat tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu pada 1970 dan sejak itu tidak pernah bertemu.

Bapa kepada sembilan anak dari Marang itu berkata, selepas menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dia melanjutkan persekolahan ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Alam Shah, Cheras sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

"Saya sungguh tidak sangka bahawa aliran aktiviti kami sama iaitu ke arah keagamaan dan kerja kemasyarakatan.

"Mohama miliki pusat tahfiz sendiri, sama seperti saya dan dia juga seorang ahli taranum dan guru al-Quran selain aktif dalam kerja dakwah," katanya ketika ditemui di majlis Sambutan Maal Hijrah 1442H/2020M Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Mengenai anugerah yang diterima, beliau berkata, dia tidak menyangka diberi penghormatan itu kerana mengandaikan dirinya tidak layak untuk menerima anugerah setinggi itu.

"Saya tidak pernah terfikir untuk dicalonkan sebagai penerima anugerah ini dan apa yang saya lakukan ini adalah satu tanggungjawab terhadap umat Islam tetapi rupanya semua itu dinilai sebagai antara kriteria yang melayakkan saya diberi penghormatan ini," katanya.

Anugerah itu melayakkannya menerima wang tunai sebanyak RM10,000, pakej mengerjakan ibadah umrah, persalinan, sijil penghargaan dan plak.

Beliau yang juga bekas guru dan Presiden Yayasan Amal Malaysia aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan hingga ke peringkat antarabangsa menerusi pembabitan dalam beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Antaranya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Marawi, Sektretariat Dakwah Rantau Asia Tenggara dan mengasaskan Akademik Al-Quran Amalilah.

Selain Mohamad yang juga imam Masjid Kampung Bukit Kandis, Kuala Nerus dinobat sebagai Tokoh Imam Cemerlang, Tokoh Bilal Cemerlang pula dianugerahkan kepada bilal Masjid Kampung Kubang Bujuk, Manir, Abdul Rahman Ishak.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 2:50pm
d