mutakhir

Lelaki 'lalok' memandu langgar 6 kereta

Oleh Nur Izzati Mohamad

LELAKI ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan berlaku kemalangan di enam lokasi berbeza di sekitar Bukit Mertajam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima laporan daripada enam pemandu kereta yang memaklumkan bahawa kenderaan mereka dilanggar seorang lelaki tidak dikenali.

"Dalam kejadian antara 12 tengah hari hingga 3.30 petang itu, keenam-enam mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan mereka pula mengalami kerosakan kecil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis sudah menahan suspek berusia 28 tahun untuk siasatan lanjut.

"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 3:01pm
d