mutakhir

Jelajah APEC 2020 dapat sambutan

Oleh T N Alagesh

PINTU masuk utama Kuantan City Mall di Kuantan, semalam, meriah apabila bertukar menjadi karnival bagi menyambut kedatangan belia sempena acara jelajah Skuad Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Antara yang paling menarik perhatian pengunjung adalah Simulator F1 di mana orang ramai tidak melepaskan peluang mencuba pengalaman berlumba di litar Formula 1.

Selain itu, orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai pelbagai kuiz menyeronokkan termasuk 'Wheel of Fortune'. Ia menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk pengunjung.

Bagi mempromosikan APEC 2020, penganjur turut mengadakan kuiz trivia mengenai sidang itu.

Malaysia menjadi penganjur acara antarabangsa itu untuk kali kedua selepas pertama kali menjadi penganjur pada 1998.

Pengunjung yang hadir tidak kering gusi mendengar keletah juruacara majlis, Muhammad Ashraf Jamaludin atau lebih mesra dengan panggilan Acap dan rakannya, Mohamad Zaharudin Zainal. Mereka menceriakan majlis dengan sering kali berinteraksi dengan pengunjung sambil bertanyakan soalan kuiz trivia itu.

Mereka yang menjawab jawapan dengan tepat akan membawa pulang beg berisi barangan edisi terhad APEC 2020.

Pelajar tingkatan empat, Kamil Hakimi Samsul Akmar, 16, menyifatkan acara itu amat bermanfaat dalam mendapatkan maklumat mengenai APEC 2020.

"Kami tahu negara akan menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak ini pada tahun ini tetapi acara jelajah ini memberikan kita lebih banyak maklumat mengenai negara peserta pada APEC 2020 dan isu yang akan menjadi topik perbincangan pada acara itu.

"Konsep yang diguna pakai menerusi jelajah ini membolehkan kita menyertai aktiviti menyeronokkan sambil menambah ilmu mengenai APEC.

Saya percaya ini adalah acara amat bagus untuk saya mempelajari mengenai APEC dan saya berbangga kerana Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak pada tahun ini," katanya.

Pelajar kolej, Mohd Azrul Mohd Sabri, 22, berkata, program jelajah itu dapat menguar-uarkan mengenai APEC kepada golongan muda.

"Tidak ramai yang mengetahui mengenai sidang pada tahun ini akan diadakan terutama di tengah penularan Covid-19.

"Saya fikir persidangan tahun ini adalah lebih istimewa kerana diadakan dalam norma baharu dan mesti banyak isu akan dibincangkan oleh pemimpin negara yang menyertainya," katanya.

Dalam pada itu, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Camelia Samsul Akmar, 18, pula berkata, acara jelajah di sini itu sewajarnya berlangsung lebih lama.

"Selain menyertai pelbagai permainan yang menyeronokkan, ia dapat memberikan kita lebih banyak maklumat mengenai APEC 2020.

"Mungkin penganjur boleh memikirkan untuk mengadakan pameran bergambar mengenai sidang kemuncak APEC terdahulu," katanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan, program jelajah itu bertujuan menarik orang ramai untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk Simulator F1, permainan 'Wheel of Fortune', kuiz APEC dan pertandingan swafoto.

"Ini adalah satu usaha menyebarkan kesedaran bahawa Malaysia adalah pengerusi APEC pada tahun ini. Ini adalah kali kedua Malaysia mempengerusikan APEC iaitu sebuah forum ekonomi tahunan terbesar di rantau ini.

"MITI selaku sekretariat kebangsaan bagi APEC 2020 akan menjelajah ke Kuantan, semalam dan hari ini di Kuala Terengganu. Acara hari ini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Terengganu antara jam 4 hingga 7 malam, " katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 3:05pm
d