mutakhir

Menangis, berkurung selepas disahkan hidap kanser usus

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

"SAYA menangis dan mengurung diri di dalam bilik selama dua hari selepas disahkan doktor menghidap kanser usus.

"Sudahlah saya orang kurang upaya (OKU) lumpuh separuh badan, tiba-tiba diuji pula dengan penyakit ini," kata Salmiah Zakaria, dari Felda Lui Barat, Jempol.

Bagaimanapun, Salmiah, 37, yang juga atlet boling padang paralimpik berkata, sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat termasuk apabila mengenangkan anak lelaki berusia empat tahun yang perlu diberi perhatian, dia perlu bangkit melawan penyakit berkenaan.

Mengimbau kembali penyakit itu disedari, Salmiah berkata, semuanya bermula pada November tahun lalu apabila mengalami najis berdarah selama seminggu.

Katanya, ahli keluarga menghantarnya ke pelbagai klinik kerajaan dan swasta sebelum pada Januari lalu doktor di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) mengesahkan dia menghidap kanser usus.

"Selepas itu bermulalah rawatan kemoterapi dan radioterapi yang perlu saya lalui di Institut Kanser Negara sehingga pembedahan membuang usus dilakukan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban, pada 7 Ogos lalu.

"Selepas pembedahan itu, saya hanya terlantar di atas katil kerana tidak boleh duduk walaupun di atas kerusi roda," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Salmiah adalah atlet boling padang mewakili Negeri Sembilan ke Para Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dan Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia pada 2018.

Di Sukma Perak, Salmiah menyumbang pingat perak kepada kontinjen Negeri Sembilan menerusi acara perseorangan dan di Jakarta, dia menyumbang satu perak perseorangan dan satu gangsa menerusi acara beregu (double).

Salmiah berkata, dia lumpuh separuh badan ketika berusia 12 tahun selepas diserang demam panas dan mula berkerusi roda selepas itu.

Katanya, ketika ini, dia sudah tidak lagi boleh membuang air besar secara semula jadi berikutan usus sudah dibuang akibat kanser dan memerlukan stoma beg berharga RM550 sebulan.

"Saya tidak lagi boleh makan seperti biasa dan banyak meminum susu khas dengan anggaran perbelanjaan RM250 sebulan.

"Pihak Baitulmal ada memberi bantuan wang tunai RM200 dan barang makanan berjumlah RM50 bagi kategori asnaf sejak saya berusia 13 tahun, Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan manakala Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) turut memberi bantuan lampin pakai buang setiap sebulan.

"Suami juga seorang OKU lumpuh separuh badan seperti saya dan turut menghidap kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Ketika ini, ibu Salmiah, Salmah Adam, 70, menjaga dan menguruskan dirinya di rumah.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat membantu Salmiah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank CIMB 7025750607 atas nama Salmiah Zakaria.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 3:29pm
d