mutakhir

Terkilan arwah tidak sempat makan pengat durian

Oleh Zaid Salim

"DIA beritahu demam, batuk dan bercadang untuk pulang ke kampung pada cuti sempena Maal Hijrah tetapi tidak sangka yang tiba hanyalah jenazahnya," kata Abdullah Ngah.

Abdullah, 69, bapa kepada Hishamudin, 27, anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Machang yang maut dalam kemalangan di Kilometer (km) 35 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, petang semalam.

Menurutnya, anaknya itu ada menghubungi ibunya, Senik Ismail, 64, dan beritahu dalam perjalanan pulang sebaik tiba di bandar Jerteh, Besut.

Katanya, isterinya sempat menyediakan pengat durian namun terkilan apabila hasrat menjamu arwah dengan makanan kesukaannya itu tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu pergi meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

"Saya terkejut dan ibunya lemah sebaik menerima panggilan telefon memberitahu Hishamudin terbabit dalam kemalangan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

"Walaupun sedih dengan berita itu, kami reda kerana apa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan menerima takdir yang menimpa dirinya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdullah berkata, mangsa adalah anak kesembilan daripada 10 beradik dan sangat rapat dengan ibunya.

Menurutnya, sejak menyertai JPJ pada 2018 dan bertugas di Kelantan, arwah sering balik ke kampung pada cuti hujung minggu.

Katanya, setiap kali mahu pulang ke kampung, ibunya sering berpesan supaya berhati-hati ketika memandu.

Jenazah Hishamudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Chempedak, Marang pada 9.30 pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 4.30 petang semalam, kenderaan dipandu arwah jenis Honda Civic dikatakan terbabas memasuki laluan kanan sebelum melanggar sisi belakang Perodua Kancil yang datang dari arah Kuala Terengganu ke Setiu.

Perlanggaran itu menyebabkan kenderaannya melintang di tengah jalan sebelum dilanggar Nissan X-Trail yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Setiu.

Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Kancil dan Nissan X-Trail serta lima penumpang mengalami kecederaan ringan.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 4:18pm
d