mutakhir

Takdir Nur Aqilah

Oleh Mahaizura Abd Malik

KETIKA bayi seusianya galak meneroka dunia, takdir tidak menyebelahi Nur Aqilah Adawiyah apabila terpaksa membesar tanpa sebelah pancaindera matanya.

Mata kiri bayi berusia setahun lapan bulan itu terpaksa dibuang demi menyelamatkan nyawanya akibat barah.

Bapanya, Muhammmad Shazuli Zaini, 31, berkata, dia dan isteri Nur Hasikin Saat, 29, reda dan akur dengan ketentuan Allah SWT meskipun berat menerima hakikat itu.

Katanya, mereka tiada pilihan bersetuju membenarkan prosedur pembedahan bagi membuang mata kiri anak bongsu daripada dua beradik itu kerana tidak mahu kehilangan puteri kesayangan.

"Memang tak mudah kami membuat keputusan ini apatah lagi memikirkan dia masih kecil, namun saya pujuk hati sendiri dan isteri supaya memilih nyawa anak kami berbanding matanya.

"Jika matanya tidak dibuang, barah itu akan merebak cepat ke organ lain dan lebih bahaya lagi merisikokan otaknya.

"Jadi, kami reda, biarlah penglihatan matanya saja hilang daripada kami kehilangan terus nyawanya," katanya kepada Harian Metro.

Penyelia sebuah syarikat pembersihan itu berkata, pembedahan berkenaan selamat dijalankan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Jumaat lalu.

"Keadaan anak kami semakin bertambah baik. Melihat dia ceria bermain dan makan macam biasa, membuatkan hati kami sedikit terubat dan kuat semangat menghadapi dugaan ini.

"Namun, isteri masih lagi memerlukan masa untuk menerima sepenuhnya hakikat ini," katanya.

Menurutnya, mereka lewat mengesan penyakit Nur Aqilah Adawiyah yang sebenarnya sudah wujud sejak lahir.

"Ketika pantang, isteri perasan ada sinaran pelik pada mata kiri anak kami dan ia akan muncul sesekali ketika usianya menginjak setahun lebih.

"Namun, kami tidak tahu itu penyakit kerana tiada gejala lain sehingga pada Selasa lalu, doktor mengesahkan ia sejenis barah ketika membawanya membuat pemeriksaan.

"Doktor memberitahu tiada cara lain menyelamatkan nyawanya selain pembedahan segera perlu dilakukan," katanya.

Muhammmad Shazuli berkata, Nur Aqilah Adawiyah akan menjalani rawatan susulan termasuk kemoterapi dengan kos mencecah ribuan ringgit.

"Saya bekerja seorang diri dengan hanya pendapatan RM1,650, menyebabkan kami terpaksa tebalkan muka meminjam dengan adik beradik dan menerima sumbangan orang lain bagi membiayai kos pembedahan lalu.

"Selepas ini, doktor menjangkakan dia masih lagi perlu menjalani rawatan susulan dan kemoterapi yang menelan belanja ribuan ringgit," katanya.

Mereka yang ingin membantu meringankan keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan di akaun Maybank 162290037984 atas nama Muhammad Shazuli.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 4:28pm
d