mutakhir

Penduduk Port Dickson tidak perlu panik

Oleh Mohd Khidir Zakaria

WARGA Port Dickson tidak perlu cemas melihat persediaan dilakukan di Jeti Jabatan Laut Port Dickson bagi menyambut ketibaan pekerja yang baru pulang daripada bertugas di laut.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Shamil Ithman berkata, itu adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) kemasukan ke Malaysia melalui jalan laut.

"Pemeriksaan dan pendaftaran masuk pekerja laut di Jeti Jabatan Laut Port Dickson perlu dilakukan dan warga Port Dickson jangan cemas kerana ia SOP biasa.

"Proses saringan awal Covid-19 kepada 'Person Under Surveillance' (PUS) oleh petugas Klinik Kesihatan Port Dickson sebelum PUS dihantar ke pusat kuarantin untuk dikuarantin selama 14 hari.

"SOP ini perlu dipatuhi mereka yang pulang/masuk ke Malaysia untuk dikuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata, PUS yang menjalani saringan awal Covid-19 akan dihantar ke pusat kuarantin dengan diiringi ambulans APM Port Dickson.

Menurutnya, semua petugas memakai sut Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dibenarkan sebagai langkah keselamatan dan siap siaga bagi menghalang penyebaran Covid-19.

"Langkah itu perlu dilakukan kerana Port Dickson adalah kawasan yang digazetkan sebagai Pantai Peranginan Negara.

"Kita tidak akan mengambil mudah dan mereka perlu mengikut SOP ditetapkan kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Pengunjung perlu rasa selamat dan kami mesti menjalankan tugas diamanahkan itu sedaya mungkin dan semua pihak harus memberikan kerjasama sepanjang operasi ini dijalankan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 4:35pm
    d