mutakhir

Berkas remaja disyaki rogol adik perempuan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

REMAJA lelaki ditahan polis selepas disyaki memperkosa adik kandungnya berusia 15 tahun.

Remaja berusia 16 tahun itu ditahan di Jalan Universiti di Petaling Jaya, pada 12.10 tengah malam tadi selepas polis menerima laporan daripada pihak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan pada 9.35 malam Rabu lalu.

"JKM pada mulanya menerima aduan daripada seorang guru kaunseling yang mendakwa pelajar sekolahnya dirogol abang kandung.

"Bertindak atas maklumat itu, JKM menyelamatkan mangsa di rumahnya dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan lanjut, pada 7.30 malam Rabu.

"Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan koyakan lama pada kemaluannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, anak kedua daripada lima beradik itu bersama seorang lagi adik perempuannya, kini ditempatkan di bawah jagaan JKM sementara siasatan selesai.

Katanya, suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 6:05pm
d