mutakhir

Dua pelajar lemas mandi Pantai Miami

Oleh Zaid Salim

DUA pelajar ditemui lemas selepas mandi di Pantai Miami, Seberang Takir di Kuala Nerus, hari ini.

Muhammad Amirul Zulkafli, 15, yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir dan Muhammad Aidil Ashman Abdul Manan, 16, sebelum itu joging di kawasan berhampiran bersama lima lagi rakannya pada 7 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Pegawai Bomba Tinggi Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 7.37 pagi dan 14 anggota dikerah ke lokasi.

"Operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan dan pada 9 pagi, mangsa ditemui berdekatan antara satu sama lain.

"Mangsa ditemui di dasar pantai yang berkedalaman tiga meter," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi bedah siasat.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 2:22pm
d