mutakhir

Pengalaman Hazani bawa impak positif di Sabah - Timbalan KPN [METROTV]

Oleh Juwan Riduan

PELANTIKAN Datuk Hazani Ghazali sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, dilihat memberi impak positif dalam pentadbiran Polis Kontinjen Sabah.

Berbekalkan pengalamannya sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Hazani memahami negeri ini secara keseluruhannya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pemilihan Hazani untuk memegang tampuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah bukan perkara asing kerana rakyat di negeri ini sudah mengenalinya sejak beliau menjawat jawatan sebagai Komander ESSCOM.

Katanya, tanggungjawab yang digalas sebelum ini amat penting terutamanya dalam memastikan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sentiasa terpelihara.

"Beliau bukan orang yang asing bagi negeri ini. Sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, tanggungjawab itu bukan saja untuk memastikan kawasan ESSZONE selamat, bahkan seluruh negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah antara Datuk Hazani Ghazali yang menggantikan Datuk Zaini Jass dan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Zaini dipindahkan ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

Acryl berkata, beliau percaya dengan pengalaman sepanjang menjawat jawatan Komander ESSCOM akan membantu Hazani untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Sementara itu, Hazani berkata, beliau akan meneruskan misi dan visi yang disusun atur oleh mantan Pesuruhjaya Polis Sabah sebelum ini.

Selain itu katanya, beberapa penambahbaikan akan dilakukan termasuk kajian berkaitan taburan jenayah yang berlaku di negeri ini.

"Saya juga akan memberi fokus kepada sindiket dadah yang berleluasa di Sabah kerana negeri ini kebiasaannya dijadikan pusat transit sindiket dadah mengedar ke negara jiran terutamanya Indonesia dan Filipina.

"Begitu juga dengan memberi fokus kepada ketua atau dalang sindiket serta penyeludupan dan saya akan pastikan fail kes dibuka dan tindakan sewajarnya akan diambil," katanya.

Hazani berkata, beliau juga akan meneruskan kerjasama dengan mengekalkan keselamatan dan kesiapsiagaan di kawasan ESSZONE.

"Kita berharap Komander ESSCOM yang baharu akan terus memberi sokongan untuk bersama-sama menggerakkan semula dan perkemaskini semula untuk penentuan operasi yang bakal dilaksanakan," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 3:34pm
d