mutakhir

Dr Noor Hisham dah banci, anda bila lagi?

Oleh Rafidah Mat Ruzki

"SAYA sudah banci online (dalam talian), anda bila lagi?," ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tadi.

Beliau melalui kenyataan dikeluarkan meminta orang ramai dan warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama mengambil bahagian dalam banci MyCensus yang sedang dijalankan secara dalam talian di mycensus.gov.my ketika ini.

Beliau berkata, Banci Penduduk dan Perumahan itu dilaksanakan setiap 10 tahun dan usaha yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia ketika ini adalah Banci kali keenam dilaksanakan sejak penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Katanya, dianggarkan seramai 32.7 juta penduduk dengan 9 juta tempat kediaman akan dibanci pada tahun ini.

"Berikutan penularan wabak Covid-19, program Banci pada kali ini diadakan dengan pendekatan berbeza dan dilaksanakan dalam dua fasa.

"Fasa pertama diadakan pada 7 Julai hingga 30 September ini secara dalam talian atau e-Census. Manakala fasa kedua diadakan pada 7 Oktober hingga 24 Oktober nanti secara bersemuka.

"Pada pagi ini saya amat berbesar hati menerima kunjungan muhibah daripada Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bagi membincangkan kerjasama strategik antara Jabatan Perangkaan Malaysia dan KKM.

"Kunjungan ini juga bersempena dengan Kempen MyCensus 2020 Fasa 1 bawah program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) yang sedang berlangsung dari 7 Julai sehingga 30 September 2020.

"Pelaksanaan banci secara dalam talian selaras dengan amalan normal baharu sekaligus membantu Kerajaan mencegah penyebaran Covid-19 serta melindungi kumpulan-kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak," katanya dalam laman sosial Facebook miliknya tadi.

Dr Noor Hisham yang sudah menyertai bancian itu berkata, Program Banci Penduduk dan Perumahan itu amat penting dalam membantu usaha kerajaan merancang, menggubal dan melaksanakan dasar Kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, data yang diperoleh melalui Banci 2020 itu nanti akan digunakan bagi tujuan pembangunan negara seperti pembinaan hospital, klinik kesihatan, sekolah, jalan raya dan lain-lain.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 5:02pm
d