mutakhir

Kelasi warga China dikhuatiri lemas di perairan Pulau Ketam

Oleh Ruwaida Md Zain

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengatur gerak aset laut dan udara bagi mengesan seorang kelasi kapal kargo warga China yang hilang di perairan Pulau Ketam di Pelabuhan Klang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kru kapal kargo warga China itu dipercayai jatuh ke dalam laut di kedudukan 17.2 batu nautika barat daya Pulau Ketam.

"Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan pada 9.30 malam sebaik menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.

"Mangsa disedari hilang pada 8.30 malam ketika kapal dalam pelayaran dari Hong Kong ke Brazil melalui perairan Selat Melaka.

"Mangsa, Yang Kai Kai berusia 29 tahun disyaki jatuh ke laut tanpa memakai jaket keselamatan dan disahkan jatuh laut oleh nakhoda kapal terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Rosli, aset Maritim Malaysia, bot Penggalang 31 dan helikopter AS365N3 Dauphin dikerah ke lokasi kejadian untuk misi pencarian.

"Aset agensi lain yang turut serta dalam operasi SAR ini adalah aset Pasukan Polis Marin (PPM) iaitu PC32 dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bot RHIB3.

"Pencarian dibahagikan kepada empat sektor merangkumi keluasan 182 batu nautika persegi dari perairan One Fathom Bank (OFB) hingga ke Beting Angsa, Selangor," katanya.

Bagaimanapun, katanya, operasi sehingga 6 petang hari ini tidak menemui mangsa atau lain-lain petunjuk.

"Operasi pencarian mangsa yang masih hilang akan ditangguhkan 7 malam ini dan akan diteruskan pada esok sehingga mangsa ditemui," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 11:35pm
d