mutakhir

SMK, SK Sanglang dibuka 25 Ogos

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

DUA sekolah yang sebelum ini ditutup di Sanglang akan dibuka semula pada Selasa ini bagi menyambung kembali sesi pengajaran dan pembelajarannya.

Sekolah berkenaan yang sebelum ini ditutup berikutan penularan pandemik Covid-19 dari kluster PUI Sivagangga adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis menerusi satu surat bertarikh 19 Ogos lalu yang memaklumkan bahawa kedua sekolah terbabit akan mula dibuka semula pada 25 Ogos ini.

Pengarah JPN Perlis, Naharudeen Othman ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

"Ya, Insya-Allah surat itu benar," katanya ringkas ketika dihubungi menerusi WhatsApp.

Ditanya mengenai status Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chin Hun di dalam kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO), Naharudeen berkata, sekolah berkenaan masih tidak dibenarkan dibuka.

Sehingga semalam, menerusi hantaran di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis hanya satu kes Covid-19 yang dilaporkan masih aktif iaitu di Kuala Perlis manakala mukim Sanglang yang sebelum ini mempunyai 11 kes aktif kembali ke zon hijau.

Sebelum ini, TEMCO dilaksanakan di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul yang terletak di dalam mukim Sanglang berikutan penularan Covid-19 Kluster PUI Sivagangga dari Napoh, Kubang Pasu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 12:23pm
    d