mutakhir

Semarak Merdeka pelajar istimewa

Oleh Ahmad Ismail

SEMPENA bulan kemerdekaan, 16 pelajar istimewa dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gemerih di Segamat, Johor bersemangat mengadakan aktiviti menzahirkan cinta terhadap negara.

Guru Besar, Abdul Rahman Ibas berkata beliau kagum dengan hasil kreativiti pelajar istimewa itu yang berbakat secara semula jadi.

Beliau berbangga usaha dan komitmen oleh pelajar pendidikan khas itu mampu mengubah gubahan antaranya skaf rambut, tanjak, sampin, jaket dan pakaian mengikut kreativiti masing-masing berasaskan warna Jalur Gemilang.

"Seramai 12 pelajar lelaki dan empat orang pelajar perempuan berusia antara tujuh sehingga 14 tahun turut serta dalam projek ini.

"Ia adalah antara usaha pihak sekolah untuk memupuk kesedaran pelajar dan mengajak mereka menzahirkan rasa cinta terhadap negara melalui hasil seni tangan," katanya.

Menurutnya, bagi tujuan itu, guru memberikan idea dan kebebasan kepada pelajar untuk menghasilkan kraftangan menggunakan Jalur Gemilang.

"Sebahagian Jalur Gemilang itu daripads sumbangan, guru, pelajar dan ibubapa pelajar selain Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG).

"Meskipun projek itu membabitkan anak istimewa, semua yang dirancang berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Pelajar terbabit memberi kerjasama baik tanpa perlu dibantu sepanjang masa.

"Pelajar mampu menyiapkan semua projek ini tidak sampai 24 jam. Saya terharu melihat kesungguhan pelajar ini," katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 3:45pm
d