mutakhir

'Tiada siapa terlepas tindakan jika langgar SOP'- Ismail Sabri

Oleh BERNAMA

SEMUA kes berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 akan disiasat, demikian jaminan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, sekiranya didapati melanggar SOP atau melakukan kesalahan, tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

"Setiap orang tidak bebas dan mengatasi undang-undang. Menteri, timbalan menteri, kalau mereka melakukan kesalahan, langgar SOP pasti akan dikenakan tindakan.

"Hukuman terserah kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sama ada nak kompaun dan sebagainya terserah kepada mereka," katanya kepada media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Slim River di Felda Besout 2, Slim River hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari luar negara baru-baru ini.

Mengenai pematuhan SOP sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim, Ismail Sabri berkata, berdasarkan pemerhatian, ia sangat memuaskan.

"Di kawasan saya pergi semua ikut SOP, anak kecil pakai pelitup muka, tempat duduk dalam sesuatu program ada penjarakan fizikal.

"Saya percaya rakyat semakin sedar perlunya patuh kepada SOP mungkin sebab (bimbang) dengan Kluster Sivagangga dan bahaya di sekitar mereka," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan elaun bulanan sebanyak RM350 kepada isteri veteran tentera yang perlu memberikan tumpuan dan menjaga sepenuh masa suami mereka sekiranya terlantar sakit.

Beliau berkata, pemberian elaun itu bertujuan memastikan veteran tentera yang berbakti kepada negara dapat dijaga dengan sempurna selain meringankan beban isteri.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno meminta pengundi di DUN Slim memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz pada pengundian PRK itu yang akan diadakan 29 Ogos ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 3:54pm
    d