mutakhir

Penduduk tempatan jadi dalang seludup PATI

Oleh Abdul Rahemang Taiming

LADANG kelapa sawit di Kampung Tinagat, Tawau dikesan menjadi lokasi transit sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk ke negara ini secara haram.

Berikutan itu, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan serbuan di lokasi berkenaan tengah malam tadi.

Bagaimanapun, hanya seorang lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai warga Indonesia berjaya ditahan manakala yang lain berjaya melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, serbuan itu dilakukan pada 12.30 tengah malam.

Menurutnya, susulan itu pihaknya melakukan satu lagi serbuan beberapa jam kemudiannya di Jalan Batu Payung dan menahan enam lagi PATI.

"PPM menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun bersama PATI berkenaan.

"PATI berkenaan terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita masing-masing berusia antara 20 hingga 57 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun," katanya.

Mohd Nazari berkata, siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah selain disyaki menyusup masuk secara haram melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Kesemua mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010)," katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 4:58pm
d