mutakhir

MIC yakin BN mampu menang lebih besar

Oleh Rosman Shamsudin

MIC yakin calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, 43, mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim pada 29 Ogos ini.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, jentera MIC di peringkat bahagian dan pusat sudah mengunjungi rumah pengundi terutama kaum India secara berkala bagi membantu calon BN.

Katanya, jentera MIC mendapat sambutan luar dugaan daripada pengundi kaum India jika dibandingkan dengan kempen dalam PRK lain sebelum ini.

"Kira-kira 3000 pengundi di Dun Slim terdiri daripada pengundi India dan daripada jumlah itu, 2,000 tinggal di kawasan Dun berkenaan.

"MIC percaya menerusi gerak kerja jentera dijalankan, kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dapat ditawan semula oleh BN," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Kemahiran JobsMalaysia di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River, hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan surat tawaran kerja kepada calon yang mendapat tawaran kerja sempena karnival itu.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan replika cek bagi Skim Bantuan Galakkan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGPOKU) dan bantuan peralatan kepada Mohd Shahezam Abdul Hamid, 20, sebanyak RM92,950 dan Madzlan Saibon, 44, sebanyak RM71,030.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 5:06pm
d