mutakhir

Jangan perlekeh bahasa kebangsaan!

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

"Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara ini. Jangan lupa fakta itu," ujar Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar yang mengecam tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di sekitar bandar raya Kuching, 20 Ogos lalu.

Beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan sejak Malaysia merdeka.

"Hal ini (tampal pelekat bertulisan Cina) tidak sepatutnya berlaku. Kita ada Akta Bahasa Kebangsaan di mana setiap papan tanda jalan perlu menggunakan bahasa kebangsaan.

"Kita berharap hal ini tidak berulang kembali. Ambil contoh di Selangor, apabila kerajaan terdahulu memerintah, mereka meletakkan papan tanda yang berbahasa Cina hingga memaksa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terpaksa campur tangan," katanya di Tanjong Karang, Selangor tadi.

Terdahulu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menyampaikan cek sumbangan pembinaan dewan terbuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Serong, Tanjong Karang.

Beliau menegaskan, pihak terbabit melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang.

Kelmarin, sekumpulan ahli DAPSY Kuching menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di beberapa lokasi di pusat bandar raya Kuching.

Antara lokasi terbabit ialah Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Greenhill.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 5:45pm
d