mutakhir

Covid-19: Kluster Tawar rekodkan 63 kes jangkitan keseluruhan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KLUSTER Tawar di Kedah merekodkan pertambahan kes apabila lima lagi kes baharu penularan tempatan yang dilaporkan hari ini daripada kluster berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 kluster itu sebanyak 63 kes.

Setakat ini, beliau berkata, seramai 2,942 orang disaring dalam kluster berkenaan iaitu 2,414 di Kedah, Pulau Pinang (517) dan Perak (11).

"Daripada saringan itu, 52 dikesan positif dan 135 individu masih menunggu keputusan di Kedah, manakala 11 positif dan 63 masih menunggu keputusan di Pulau Pinang.

"Baki 2,770 individu pula adalah negatif. Begitu juga kesemua 11 saringan di Perak adalah negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengesanan kes dan saringan kontak rapat bagi kluster itu masih diteruskan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 6:00pm
    d