mutakhir

Tipu polis untuk selamatkan anak

Oleh Mohd Amin Jalil

PEMANDU kereta Perodua Myvi yang merempuh mati tiga individu di Mambau, Negeri Sembilan, pagi tadi bukanlah lelaki berusia 61 tahun, sebaliknya anak lelakinya berusia 27 tahun.

Sehubungan itu, polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan kes kemalangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, penahanan pemuda itu berdasarkan hasil siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan.

"Berdasarkan rakaman itu, pemandu Myvi terbabit bukanlah lelaki warga emas berusia 61 tahun seperti mana pengakuan awal dibuat.

"Lelaki warga emas itu akhirnya mengaku pemandu sebenar kereta itu adalah anaknya yang berumur 27 tahun," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bertindak atas maklumat berkenaan, pasukan anggota Risikan dan Operasi Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menahan pemandu kenderaan itu.

"Lelaki itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban untuk tindakan lanjut.

"Bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing dan alkohol mendapati lelaki itu negatif. Dia bagaimanapun akan direman untuk tujuan siasatan.

" Kes disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 419 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Terdahulu, tiga individu maut membabitkan seorang pejalan kaki, Noraniza Mohamed Amin, 42, serta sepasang suami isteri yang menunggang motosikal.

Pasangan terbabit, Thamotharan, 44, dan isteri ,S Ramadevi, 38, turut maut akibat kecederaan parah selepas dirempuh kereta itu di hadapan Surau Al-Muqarrabin, pekan Mambau.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 6:59pm
d