mutakhir

8 premis jalankan aktiviti perjudian dipotong bekalan elektrik

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LAPAN premis di daerah Brickfields, Kuala Lumpur dipotong bekalan elektrik selepas didapati menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) bersama tiga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan operasi pemotongan itu.

"Kita mengenal pasti sebanyak 18 premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian.

"Namun, ketika operasi dilakukan hanya lapan premis disyaki masih melakukan aktiviti itu, manakala selebihnya sudah bertukar kepada pengurusan baharu dan tidak terbabit aktiviti berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka (Pindaan 2001).

Katanya, polis akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap premis yang dikesan menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 7:51pm
d