mutakhir

Kasih ibu, tabah jaga anak terlantar 18 tahun

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

JANGKITAN kuman pada otak sebelah kiri selepas dilahirkan 18 tahun lalu menyebabkan remaja ini hanya mampu terlantar di atas tilam selain perlu diuruskan seperti bayi.

Siti Zubaidah Mohd Ali, 56, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu, Nur Athirah Najihah Ibrahim, 18, tidak membesar seperti remaja seusianya, selain tidak mampu bercakap disebabkan menghidap Cerebral Palsy (CP) atau kelumpuhan otak ketika dia berusia sembilan bulan.

Katanya, selepas kematian arwah suaminya, Ibrahim Abdul Rahman sejak 10 tahun lalu disebabkan serangan jantung, dia kini terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga Nur Athirah Najihah bersendirian.

"Walaupun perlu menjaga dan menguruskan Nur Athirah Najihah seorang diri, namun saya tidak pernah mengeluh meskipun pada masa sama turut menghidap penyakit kencing manis, darah rendah selain masalah saraf dari paras pinggang ke bawah.

"Menjaga Nur Athirah Najihah bukan satu bebanan dan selagi bernafas saya akan menjaganya dan tidak akan sesekali mengabaikannya," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Pangkal Changgong, Machang.

Bercerita lanjut, Siti Zubaidah berkata, Nur Athirah Najihah dilahirkan ketika usia kandungan tujuh bulan dengan berat 0.8 kilogram (kg) dan terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selama lebih dua bulan sebelum dibenarkan pulang.

"Bagaimanapun, ketika Nur Athirah Najihah berusia sembilan bulan, saya sekali lagi diuji apabila dia mengalami demam dan batuk berpanjangan sehinggalah doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman di otak sebelah kiri.

"Bagi mengelakkan jangkitan yang lebih serius, pada awal 2003, anak saya perlu menjalani pembedahan di HUSM bagi membuang sebahagian otak sebelah kirinya yang sudah dijangkiti kuman.

"Namun, tidak lama selepas pembedahan, Nur Athirah Najihah sering mengalami serangan sawan menyebabkan doktor terpaksa mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan kali kedua ke atasnya.

"Selepas menjalani pembedahan kali kedua, HUSM diibaratkan rumah kedua untuk kami dua beranak kerana perlu berkampung di sana selama dua tahun sebelum Nur Athirah Najihah dibenarkan pulang," katanya.

Katanya, bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka dua beranak selain tidak mahu menyusahkan sesiapa, dia mengambil tempahan makanan dari penduduk kampung dengan purata pendapatan sekitar RM150 sebulan yang sekadar cukup makan dan pada masa sama dia juga perlu membayar sewa rumah RM250 sebulan.

"Mujurlah Nur Athirah Najihah memperoleh bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang boleh digunakan untuk membeli barang keperluannya seperti lampin pakai buang.

"Walaupun saya mempunyai tiga lagi anak, ketiga-tiganya menderita sakit dan mereka juga tidak bekerja serta perlu bergantung harap kepada pasangan masing-masing untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank bernombor 2-00-6672-00009242-6 atas nama Siti Zubaidah Mohd Ali atau boleh menghubunginya di talian 017-9645289.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 10:31pm
d