mutakhir

Lelaki sakit mental dibelasah selepas langgar beberapa kenderaan

Oleh Nur Izzati Mohamad

SEORANG lelaki yang mengalami masalah mental cedera di muka selepas dipukul sekumpulan individu di Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam, petang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa berusia 46 tahun dikatakan menaiki sebuah kereta melanggar beberapa kenderaan lain menyebabkan kumpulan lelaki itu tidak berpuas hati.

Sebalik pulang ke rumahnya selepas selesai mengadakan upacara keagamaan di sebuah tokong, dia didatangi kira-kira 10 lelaki berkenaan yang bertindak memukulnya dengan beberapa objek, termasuk menggunakan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata temu bual yang dijalankan ke atas mangsa memaklumkan bahawa dia meminjam kereta Honda dari abangnya untuk ke sebuah tokong, namun tidak sedar apa yang dilakukannya.

"Bagaimanapun, mangsa secara tiba-tiba diserang sekumpulan lelaki yang tidak dikenalinya selepas dia tiba di hadapan rumahnya hingga mengalami kecederaan bahagian bawah mata kiri, atas hidung dan atas kelopak mata kanan,

"Kesemua suspek yang terbabit memukul mangsa kemudian melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut bersama pihak psikiatri Hospital Bukit Mertajam (HBM) mengesahkan mangsa mengalami masalah sakit mental dan akan dirujuk ke Hospital Psikiatri, Pulau Pinang.

"Berhubung kereta yang dilanggar mangsa, polis menerima dua laporan dan masih dalam siasatan.

"Usaha mengesan suspek yang terbabit dalam insiden itu giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 11:14pm
d