mutakhir

4 pemandu mabuk ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

EMPAT lelaki ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dalam Operasi Alkohol dan Pencegahan Jenayah di beberapa lokasi di sekitar Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling, Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi itu dilakukan bermula jam 11 malam kelmarin hingga 3 pagi, semalam.

"Seramai 682 individu dan 655 pengguna diperiksa dan daripada jumlah itu, empat lelaki tempatan berusia 29 hingga 42 tahun ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk.

"Semua individu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, fokus utama operasi itu dilaksanakan adalah untuk membanteras dan mencegah pengguna jalan raya daripada memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang membahayakan keselamatan kepada orang lain.

Katanya, selain itu pihaknya juga memandang serius terhadap kesalahan pengguna jalan raya yang memandu dan menunggang kenderaan tanpa lesen.

"Dalam operasi ini, seramai 88 individu disaman dengan 24 daripada mereka disaman mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen.

"Bagi kesalahan itu, individu terbabit dikehendaki hadir ke mahkamah pada suatu tarikh dinyatakan untuk dibicarakan.

"Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya," katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 3:20pm
d