mutakhir

Kenang jasa pejuang negara

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

MENGENANG perjuangan anggota polis dan tentera yang mempertahankan tanah air ketika darurat dan era sebelum kemerdekaan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Kempas bertindak mengadakan gotong royong membersihkan pusara anggota keselamatan itu.

Ia diadakan di tanah perkuburan Kampung Seperi, Kuala Klawang di Jelebu dan turut dihadiri waris keluarga.

Program itu turut mendapat kerjasama anggota dan pegawai dari Balai Polis Titi dan Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu, Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Seperi.

Bagi waris, Suzaini Sani, 48, dia berbangga kerana arwah ayahnya, Sani Awang Chik pernah menjadi anggota tentera bermula pada 1947 iaitu ketika Tanah Melayu dibawah penjajahan British.

Katanya, berdasarkan penceritaan oleh arwah ibu Chemah Sudin dan adik beradiknya, arwah ayahnya banyak terbabit dalam pelbagai pertempuran ketika zaman darurat menentang komunis.

"Empat beradik dilahirkan arwah ibu tanpa arwah ayah menemani kerana ketika itu arwah dikehendaki menjalankan operasi dihutan berbulan lamanya.

"Arwah banyak bertugas diserata tempat diseluruh negara dan perkhidmatan terakhir arwah sebelum bersara di Sabah,"katanya ketika ditemui.

Suzaini yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik berkata tiga abangnya turut mengikut jejak arwah ayah apabila menyertai tentera darat dan laut.

Katanya, arwah ayahnya meninggal dunia pada tahun 2005 ketika berusia 74 tahun dan dikebumikan di tanah perkuburan itu.

"Saya terharu apabila ada pihak yang mengadakan program mengenang pengorbanan bekas anggota keselamatan yang pernah bertugas menjaga kedaulatan negara.

"Ketika ini saya dan adik beradik yang lain sedang berusaha mengumpulkan maklumat mengenai perkhidmatan arwah ayah dari awal pembabitannya sebagai tentera sehingga pencen bagi tatapan cucu cicit dikemudian hari," katanya.

Bagi balu seorang anggota polis, Muran Arifin, 78, berkata pengalaman melahirkan anak ketiga dan berpantang tanpa arwahsuami, Abd Majid Ahmad disisi kerana dikehendaki berkhidmat disempadan Malaysia - Thailand pada 1964 antara pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Katanya, perasaan ditinggalkan ketika itu bercampur baur namun akur berikutan tuntutan tugas arwah suami yang bertugas menjadi anggota polis dipelbagai unit.

"Arwah pencen pada 1992 dan meninggal dunia pada 2011. Perkahwinan dengan arwah dikurniakan empat orang cahaya mata.

"Saya terharu apabila ada pihak yang mengingati pergorbanan dilakukan bekas anggota keselamatan dengan menganjurkan program seperti ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Bukit Kempas Mohd Yusnizam Yusran, berkata program membersihkan kawasan tanah perkuburan yang turut menempatkan 10 jasad bekas anggota polis dan tentera yang berkhidmat sebelum dan selepas kemerdekaan hanyalah sumbangan kecil daripada pihaknya.

"Sumbangan terbesar adalah daripada arwah bekas polis dan tentera yang mempertaruhkan nyawa berjuang demi negara tercinta.

"Pada program ini juga, selain pusara bekas anggota keselamatan, pusara orang ramai dan kawasan sekitar tanah perkuburan turut dibersihkan kami secara bergotong royong," katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 4:10pm
d