mutakhir

Ambil iktibar wanita Orang Asli 'digantung tak bertali'

Oleh Ramli Ibrahim

WANITA Orang Asli khususnya di pedalaman Gua Musang dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji manis lelaki warga asing untuk berkahwin.

Sebaliknya, mereka perlu menjaga maruah diri sebelum berdepan masalah 'digantung tidak bertali' apabila lelaki warga asing itu pulang ke negara asalnya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, perkara itu terletak pada pilihan wanita kaum itu sendiri.

Beliau berkata, sebahagian lelaki warga asing hanya mengambil kesempatan ketika tinggal sementara di negara ini dan mungkin ada perkahwinan mereka tidak didaftar.

"Wanita Orang Asli perlu ada saluran yang boleh meyakinkan untuk mendirikan rumah tangga dengan cara sah supaya mudah mendapat pembelaan.

"Kami di kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pilihan mereka mendirikan rumah tangga dengan lelaki warga asing yang tinggal sementara di negara ini.

"Ini kerana ia perlu menerusi proses dan banyak agensi lain yang berkaitan," katanya selepas perasmian Program Turun Padang Edisi Negeri Kelantan di Dewan Serbaguna, Ladang Sungai Terah, Gua Musang, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syabuddin Hashim; Adun Nenggiri, Ab Aziz Yusof dan Adun Paloh, Amran Ariffin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ramai wanita Orang Asli di sekitar Lojing, Gua Musang berkahwin dengan lelaki warga asing.

Baru-baru ini, akhbar ini mendedahkan hampir 50 daripada lebih 100 wanita Orang Asli yang berkahwin dengan lelaki warga asing digantung tidak bertali.

Ini kerana lelaki warga negara Indonesia, Bangladesh dan Pakistan yang mendirikan rumah tangga dengan Wanita Orang Asli itu pulang ke negara asalnya.

Siti Zailah berkata, wanita Orang Asli yang belum membuat pilihan suami dinasihatkan supaya menjauhi daripada bercinta dengan lelaki warga asing.

Beliau berkata, mereka perlu mengambil iktibar daripada rakan sekampung yang teraniaya dengan kejadian digantung tidak bertali.

"Bukan nak halang mereka mendirikan rumah tangga dengan lelaki warga asing itu, tetapi apabila berkahwin perlu didaftar secara sah dan mudah bertindak," katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 4:12pm
d