mutakhir

3 kontak rapat kes Kluster Alam positif Covid-19

Oleh Mohd Roji Kawi

TIGA lagi kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini dengan kesemuanya dikesan di Bintulu.

Ketiga-tiga kes terbabit adalah kontak rapat kepada empat kes Kluster Alam iaitu kalangan kru sebuah kapal tangki.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, dengan kes terbaru itu, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat sebanyak 691 kes.

"Saringan pengesanan kontak dalam kalangan kluster aktif iaitu Kluster Alam di Bintulu mendapati tiga lagi positif Covid-19 iaitu dua daripadanya rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina.

"Ia menjadikan jumlah positif kalangan Kluster Alam kini seramai tujuh orang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, empat kru sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan Bintulu didapati positif Covid-19.

Kapal membawa muatan gas cecair asli (LNG) itu yang dalam pelayaran dari Pelabuhan Toyama Shinko, Jepun dibenarkan signed off selepas beberapa kru mengalami tanda dan gejala awal Covid-19.

Kapal tangki yang berdaftar di Pelabuhan Klang itu singgah di Pelabuhan Toyama Shinko pada 27 Julai hingga 1 Ogos 2020 sebelum singgah di Pelabuhan Labuan pada 10 Ogos 2020.

Ketika dalam pelayaran ke perairan Bintulu, Kapten kapal memaklumkan kepada agen kapal terdapat dua orang anak kapal yang sakit dan memerlukan rawatan di hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 4:52pm
    d