mutakhir

Lelaki sesat di Bukit Pelindung ditemui selamat

Oleh Asrol Awang

LELAKI yang dilaporkan sesat ketika beriadah di kawasan Hutan Rekreasi Bukit Pelindung, Kuantan, malam tadi, ditemui selamat, hari ini.

Lelaki berumur 45 tahun itu ditemui anggota bomba yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di hutan itu pada 10 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Kamerul Bieza Kassim berkata, sebaik ditemui, lelaki itu dibawa turun ke Teluk Tongkang.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat kehilangan mangsa pada 9.36 malam tadi, selepas mangsa beriadah bersama dua rakannya.

"Operasi bersepadu dijalankan bersama polis, ahli keluarga dan rakan mangsa, tetapi mangsa gagal ditemui sebelum SAR disambung pagi ini.

"Pada 10 pagi, mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tidak cedera sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Difahamkan, lelaki itu yang beriadah bersama dua rakannya dan kebetulan tidak membawa telefon bimbit hingga menyukarkan pasukan penyelamat menjejakinya.

Mangsa dikatakan terpisah ketika beriadah yang menyebabkan rakannya menghubungi bomba kerana bimbangkan keselamatannya.

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 5:33pm
d