mutakhir

Lima parti akan menganggotai PN [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LIMA parti termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN) menyertai pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Setakat hari ini ada lima komponen sudah berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Perdana Menteri (Muhyiddin) akan membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai status permohonan PN kepada ROS.

"Ada lima parti komponen, selain Bersatu, ada empat lain. Ada komponen Barisan Nasional (BN) bukan atas nama BN, dia mewakili parti berkenaan," katanya pada sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim di Slim River, hari ini.

Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilaporkan berkata logo dan butiran lanjut berkenaan PN akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, mereka mengambil sikap terbuka dalam penyertaan mana-mana pihak bersama PN.

"Kita mengambil sikap terbuka, ada anggota parti yang sudah bersetuju secara rasmi untuk menyertai PN.

"Kepada anggota parti lain kita terbuka kerana matlamat kita adalah sama iaitu untuk memastikan PN (sebagai) kerajaan yang stabil kerana hanya dengan kestabilan kita dapat menjamin keutuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Itu matlamat dan prinsip kita pegang," katanya.

Dalam pada itu, Azmin berkata, kerjasama dibina sejak awal tahun ini untuk membentuk kerajaan baharu semakin kukuh di peringkat persekutuan dan negeri.

"Apabila berlaku PRK (Slim) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti Sabah, menjadi tanggungjawab kita untuk menunjukkan dan menterjemahkan semangat itu dalam bentuk tindakan.

"Hari ini terbukti anggota dan komponen PN dan (parti) mendukung PN bersama dalam satu pentas seperti malam tadi semua setiausaha agung parti berkenaan memberikan mesej jelas bahawa keutamaan kita pada hari ini adalah untuk mengangkat martabat umat dan rakyat serta memulihkan ekonomi.

"Kita tidak boleh menafikan dengan perpaduan utuh dapat menyelesaikan banyak krisis besar dalam beberapa bulan ini sama ada krisis politik, ekonomi dan kesihatan.

"Kita harus terima hakikat bahawa dunia pada masa ini mengakui kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan PN adalah pentadbiran terbaik di dunia dalam menguruskan usaha pemulihan itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Lagi berita berkaitan PRN Sabah

    Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 5:50pm
    d