mutakhir

Rampas alat timbang dan sukat bernilai RM349,603

Oleh Baharom Bakar

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas alat timbang dan sukat mengelirukan pengguna bernilai RM349,603 di seluruh negara bermula awal tahun ini sehingga semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pegawai dan anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan di 337,546 premis perniagaan di seluruh negara.

Beliau berkata, seramai 2,729 peniaga dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan dikenakan kompaun berjumlah RM378,500.

"Peniaga diingatkan agar tidak membeli alat timbang dan sukat melalui dalam talian kerana kebanyakan peralatan itu tidak mengikut piawaian ditetapkan.

"Harga alat timbang dan sukat dijual melalui dalam talian lebih murah jika dibandingkan dengan kontraktor dilantik kerajaan.

"Alat timbang dan sukat perlu diselenggara setiap tahun dan menjadi kesukaran kontraktor dipertanggungjawabkan untuk melakukan penyelenggaraan peralatan dibeli melalui dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengagihan alat timbang dan sukat secara percuma kepada 46 peniaga buah di Ajil dan Kampung Gaung, Hulu Terengganu, hari ini.

Pada majlis itu, Rosol menyampaikan 30 alat timbang dan sukat jenis gigital dan 16 jenis neraca spring yang keseluruhan bernilai RM13,500.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 7:17pm
d