mutakhir

Tiga kapal disyaki bekal diesel ditahan

Oleh Rosli Ilham

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu mengesyaki tiga kapal tangki yang ditahan pada 20 Ogos lalu, membekal diesel kepada bot nelayan asing dan tempatan di tengah laut.

Ini berikutan penemuan dan rampasan buku log atau dokumen transaksi jualan diesel kepada bot nelayan terbabit di atas kapal pembekal itu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tiga kapal induk itu ditahan pada kedudukan 124 hingga 130 batu nautika dari perairan Kemaman.

Menurutnya, kapal KM Langkawi yang berpangkalan di Kuantan mengadakan Operasi Kuda Laut dan terserempak dengan ketiga-tiga kapal itu bergerak dalam keadaan mencurigakan.

"Selepas berjaya ditahan, pemeriksaan dilakukan terhadap tiga kapal itu sebelum satu daripadanya tidak mempunyai nombor pendaftaran.

"Ketiga-tiga kapal itu mempunyai 33 kru termasuk tekong iaitu lapan warga Thailand manakala selebihnya warga Kemboja berusia di antara 19 hingga 56 tahun," katanya.

Beliau berkata, kapal pertama ditahan berukuran 72 meter panjang, 10 meter lebar dengan berat 650 tan dan membawa diesel kira-kira 2,700 liter.

Katanya, kapal itu didaftarkan di Thailand dan dikendalikan 15 kru warga Thailand dan Kemboja.

"Kapal kedua berdaftar di Mongolia dengan dikendalikan sembilan kru warga Thailand dan Kemboja. Kapal sepanjang 43 meter dengan kelebaran 19 meter itu kira-kira 500,000 liter diesel.

"Hasil pemeriksaan di atas kapal itu, kami merampas buku log atau dokumen transaksi jualan diesel kepada bot nelayan terbabit," katanya.

Beliau berkata, kapal ketiga ditahan itu tiada nama dan nombor pendaftaran dan didakwa didaftarkan di Thailand dengan dikendalikan dua kru warga Thailand dan tujuh kru warga Kemboja serta membawa 3,000 liter diesel.

Menurutnya, pihaknya turut menemui sejumlah wang tunai RM700 dan Thailand TB9,500 di atas kapal berkenaan," katanya.

"Kami mengesyaki kapal induk ini membekal diesel kepada bot nelayan Vietnam sehingga mereka boleh berada selama tiga bulan di laut mencuri hasil perikanan negara.

"Siasatan kami mendapati ketiga-tiga kapal itu gagal mengemukakan dokumen kapal serta dokumen berkenaan insuran kapal apabila diminta," katanya.

Menurutnya, semua kapal itu bersama tekong dan kru diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar (MS0) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM200, 000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, tangkapan itu adalah kejayaan besar APMM dalam memerangi pencerobohan perairan negara seterusnya membuktikan peranan kapal induk dalam isu pencerobohan perairan.

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 7:37pm
d