mutakhir

Isu menteri gagal patuh arahan kuarantin hangat di Parlimen [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

ISU kuarantin membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjadi pembuka sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat pagi ini.

Ia dibangkitkan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa) yang bertanyakan mengenai denda yang dikenakan kepada golongan kenamaan yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tiada sesiapa akan mengatasi undang-undang dan negara.

Katanya, undang-undang dibuat bukan untuk mendera sesiapa sebaliknya untuk menyelamatkan negara ini serta nyawa orang ramai.

"Tidak ada siapa boleh mengatasi undang-undang. Kalau kita tengok sesiapa saja semasa Covid-19 ini malah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri sendiri sudah melalui fasa kuarantin di rumah.

"Dan sesiapa saja yang langgar, sekarang kita kenakan kompaun RM1,000. Berdasarkan Seksyen 25 Akta 342 ini, maka kompaun maksimum yang dikenakan adalah RM1,000.

"Kalau ada kes yang lebih serius atau ada penyiasatan oleh pihak polis, maka terpulang kepada agensi seterusnya, iaitu polis dan peguam. Kalau melalui Seksyen 24 iaitu dihadapkan ke mahkamah maka mereka akan buat keputusan yang selayaknya untuk sesuatu kesalahan dilakukan," katanya.

Jawapan itu mengundang celahan daripada beberapa Ahli Parlimen yang mempertikaikan menteri yang tidak menerima hukuman berat.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media memaklumkan kementerian itu mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lalu, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 11:03am
    d