mutakhir

Selesaikan isu teknikal sempadan Wilayah Persekutuan, Selangor [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

TERDAPAT beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum isu sempadan Wilayah Persekutuan dan Selangor dimuktamadkan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, ia berikutan pemindahan pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, antara isu terbabit ialah meminda keanggotaan Jawatankuasa Pengukuran dan Penandaan Sempadan di peringkat negeri, menandatangani memorandum persefahaman setuju hasrat penandaan dan ukur.

"Ketiganya adalah penandaan dan pengukuran oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan memorandum setuju terima hasil ukuran baru," katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjawab soalan Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) mengenai status terkini penyelesaian sempadan Wilayah Persekutuan-Selangor.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu tidak berpuas hati dengan jawapan berkenaan kerana berpendapat ia sudah pun berlanjutan lebih 26 tahun lalu.

Santhara berkata, dengan penyelesaian permasalahan sempadan itu nanti dijangka akan memberi manfaat iaitu antaranya pengurusan hasil dapat dilaksanakan lebih jelas dan teratur untuk percukaian seperti fi dan denda.

"Pengurusan hasil pejabat tanah juga akan lebih jelas untuk kutip sewa cukai, bayaran premium dan pelbagai bayaran pejabat tanah lain.

"Isu penguatkuasaan juga dapat diselesaikan dan menunjukkan sempadan yang jelas bagi pemilik bangunan di Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kementerian komited untuk mencapai persetujuan untuk menyelesaikan isu sempadan yang akan memberi manfaat kepada semua pihak," katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 12:01pm
d