mutakhir

Tun Mohd Ali terima darjah Seri Paduka Setia Melaka

Oleh BERNAMA

YANG Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam hari ini berkenan menerima Darjah Seri Paduka Setia daripada kerajaan negeri Melaka.

Darjah yang membawa gelaran Tun Seri Setia itu disampaikan Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali pada Istiadat Menghadap dan Mempersembahkan di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

Pada istiadat sama, Mohd Ali turut berkenan mempersembahkan Darjah Utama Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Sulaiman sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka.

Turut berangkat pada istiadat itu ialah isteri Mohd Ali, Toh Puan Asmah Abd Rahman dan isteri Sulaiman Datin Munira M Yusop.

Pengisytiharan penzahiran Darjah itu diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hassan, manakala bacaan doa oleh Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.

Pada 22 Julai lalu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan usul mewujudkan Darjah Seri Paduka Setia Melaka (SPSM), bersempena pelantikan Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh.

Sulaiman ketika mencadangkan usul itu dilaporkan berkata, SPSM hanya dianugerahkan kepada individu yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka atau setaraf atau lebih tinggi.

Mohd Ali adalah anak jati pertama negeri itu dilantik Yang Dipertua Negeri Melaka pada 5 Jun lalu.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 2:01pm
d