mutakhir

PRK Slim: Calon BN yakin raih undi Orang Asli [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz memberi tumpuan minggu terakhir berkempen dengan mendekati masyarakat Orang Asli di kawasan DUN berkenaan.

Mohd Zaidi berkata, sokongan Orang Asli terhadap BN dilihat sangat luar biasa dan percaya majoriti undian akan bersamanya sekali gus dapat membantu kemenangan.

Menurutnya, program mendekati masyarakat Orang Asli dilaksanakan di empat kampung iaitu Kampung Changkat Ramu, Kampung Sungai Teras, Kampung Buluh Seruas dan Kampung Sungai Jentong membabitkan lebih 400 pengundi.

"Alhamdulillah nampaknya sambutan luar biasa dan ini kali ketiga saya datang ke sini (melawat kampung Orang Asli) supaya boleh berjumpa terus dengan mereka, bertanya khabar dan masalah mereka.

"InshaAllah Orang Asli akan bersama dengan BN sebab melihat sokongan kehadiran penerimaan mereka pada kita, saya yakin mereka akan bersama dengan kita pada PRK nanti," katanya pada kempennya di Kampung Orang Asli Sungai Teras, Slim River, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, beliau akan melakukan sebaik mungkin memperjuangkan nasib masyarakat DUN Slim dan menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi penduduk kampung Orang Asli.

"Isu utama mereka adalah air dan ia sudah diambil tindakan oleh kerajaan negeri dan pusat, saya yakin perkara ini akan diselesaikan. Antara lain yang mereka perlukan adalah dewan, padang tempat bermain dan baik pulih rumah.

"Kalau mandat itu dapat kepada saya, saya akan membawa perkara itu kepada pihak berkenaan. Pastinya saya akan menyambung kerja Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang sangat rapat dengan masyarakat Orang Asli di sini," katanya.

PRK DUN Slim yang dijadual pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 3:01pm
    d