mutakhir

'Sehari tidak membelai Jalur Gemilang hidup tidak tenteram'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

DEMI kecintaannya kepada negara, seorang warga emas tidak kisah mengeluarkan belanja RM1,000 untuk membeli dan memasang Jalur Gemilang serta semua bendera negeri di sekeliling rumahnya di FELDA Raja Alias Empat, Jempol.

Malah, ia menjadi rutin bagi Mohd Jumaro Marzuki, 63 yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957 setiap tahun sempena bulan kemerdekaan.

"Tahun ini sebanyak 1,200 Jalur Gemilang dan bendera negeri di pasang di sekeliling rumah.

"Saya pernah menyertai pertandingan keceriaan bulan kebangsaan peringkat Negeri Sembilan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dan dinobatkan sebagai johan pada 2011, 2012, 2013 dan 2015," katanya kepada NSTP.

Mohd Jumaro berkata, walaupun sudah tidak memasuki pertandingan, dia tetap memasang bendera di sekeliling rumah sebagai tanda cintakan negara ini.

Katanya, isteri Azizah Yakimin, 64 serta lima anak dan 18 cucu sentiasa memberi sokongan untuknya terus aktif mengibarkan bendera sempena hari kebangsaan.

Menurutnya, memandangkan pemasangan bendera di kediamannya sudah menjadi perkara wajib, ia akan menjadi legasi keluarga dan bakal diteruskan oleh anak-anak dan cucunya seandainya dia sudah tiada kelak.

"Semangat kemerdekaan turut meresap dalam jiwa, walaupun saya bukan pejuang yang berlawan menentang musuh namun sehari tidak membelai Jalur Gemilang hidup seperti tidak tenteram.

"Biasanya, selepas tamat sambutan Hari Malaysia pada 16 September, saya akan menyimpan separuh bendera dan separuh lagi dibiarkan berkibar," katanya.

Mohd Jumaro berkata, selain duit poket sendiri, anak-anak turut menyumbang bagi membeli bendera dan keperluan lain.

"Selepas sekian lama tidak menyertai pertandingan, tahun ini saya akan menyertai pertandingan mengibar Jalur Gemilang dan keceriaan hari kebangsaan peringkat FELDA Wilayah Raja Alias," katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 3:02pm
d