mutakhir

Dua buruh berdepan hukuman gantung [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA buruh berdepan hukuman gantung atas pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu hari ini.

Tertuduh, Mohd Hanzalah Alias, 31, dan Muhammad Mat Tridin, 22, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, dua mereka itu didakwa bersama-sama mengedar 59.84 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine di sebuah rumah di Gong Badak, Kuala Nerus, 12 tengah hari pada 12 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Selain itu, dua tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis sama dianggarkan seberat 46.58 gram di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang menetapkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit bersalah.

Sementara itu, kedua tertuduh turut dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan memiliki dadah methamphetamine seberat 4.44 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Mereka didakwa Seksyen 12 (3) ADB 1952 yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat dan mereka tidak ditawarkan jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full dan Yuhanis Mohd Roslan, manakala dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Jamaludin kemudiannya menetapkan 23 September untuk tarikh sebutan semula kes, manakala Nordiana pula memutuskan 8 Oktober unrtuk prosiding yang sama.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 3:28pm
d